Penggunaan peti sejuk domestik untuk penyimpanan ubat-ubatan & sampel makmal: Selamat atau tidak?
Penyimpanan sesetengah jenis ubat, vaksin, sampel biologi, spesimen pesakit, reagen dan bahan kimia pada suhu tertentu di dalam peti sejuk adalah penting untuk mengekalkan kualiti, fungsi biologi dan keberkesanannya. Kenyataan ini juga adalah bertepatan dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) kepada pengamal-pengamal dan institusi perubatan di Malaysia. Pusat Kawalan Penyakit (CDC) turut menyatakan bahawa tahap keberkesanan sesuatu ubat atau vaksin itu akan berkurang jika ia kerap terdedah kepada persekitaran yang luar biasa termasuklah suhu yang terlampau panas atau sejuk, dan cahaya yang berlebihan.
Walaupun kelihatan sama, peti sejuk farmasi dan domestik adalah berbeza bukan sahaja dari segi fungsi, malah komponen dalaman dan luarannya. Tambahan lagi, membeli peti sejuk farmaseutikal adalah tidak semudah seperti memilih peti sejuk untuk tujuan penyimpanan barangan makanan sejuk beku di rumah atau restoran. Peti sejuk perubatan atau juga dikenali sebagai peti sejuk makmal atau farmaseutikal ini kebiasaanya dijual dengan harga yang lebih mahal berbanding peti sejuk domestik disebabkan oleh pembuatan dan fungsinya yang lebih kompleks.
Penulisan ini bakal merungkai lebih banyak perbezaan dengan penjelasan dari pelbagai perspektif yang berbeza dan fakta-fakta yang signifikan.
Kestabilan & keseragaman suhu
Antara salah satu perbezaan yang paling ketara adalah dari segi kestabilan dan keseragaman suhu disebabkan oleh sistem penyejukan yang berbeza antara peti sejuk domestik dan farmaseutikal. Peti sejuk jenis pelbagai guna atau domestik tidak dapat mencapai keseragaman suhu piawaian yang ditetapkan dan sekaligus membahayakan simpanan sampel dan ubat-ubatan. Tambahan lagi, peti sejuk domestik juga tidak mudah untuk menstabilkan suhu penyejukan yang ditetapkan disebabkan oleh kegunaannya yang kerap dibuka. Peti sejuk untuk kegunaan makmal atau perubatan direka dengan sistem penyejukan udara paksa yang dioptimumkan dengan kipas dalaman untuk memastikan penyejukan yang seragam di setiap sudut dalam peti sejuk, termasuklah bahagian atas, tengah dan bawah. Ia juga diperbuat daripada teknologi berkecekapan tinggi yang mampu mencapai susun atur suhu yang lebih seragam, sambil memastikan turun naik suhu yang lebih kecil, seterusnya mencapai suhu storan sampel yang stabil.
Pengaliran udara
Peti sejuk domestik direka dengan para jenis kaca atau perspek yang menghalang pengaliran udara mencukupi untuk mencapai suhu yang optimum dan stabil. Rekaan ini adalah sesuai dan baik untuk melindungi bahan makanan tetapi ia tidak dapat mengekalkan suhu dalaman yang seragam. Keadaan suhu yang tidak stabil akan memberikan risiko terhadap simpanan vaksin dan sampel biologi. Peti sejuk farmaseutikal terbukti dapat memberikan pengaliran udara yang lebih cekap melalui rekabentuk rak storan berjaring dan kebergantungan terhadap sistem penyejukan udara paksa bersama sokongan kipas berkuasa tinggi dan rongga penyejukan udara.
Proses nyahbeku
Hampir kesemua jenis peti sejuk farmaseutikal direka dengan fungsi proses nyahbeku automatik. Ini akan mengelakkan suhu terlalu sejuk di bahagian dinding peti sejuk sehingga menyebabkan pembentukan ais. Peti sejuk domestik yang tidak mempunyai elemen pemanas akan menyebabkan proses penyejukan yang tidak efektik dan memerlukan pengguna untuk melakukan proses nyahbeku manual secara berkala. Ini juga menyebabkan suhu peti sejuk akan menigkat secara mendadak untuk membantu proses nyahbeku.
Komponen penggera
Secara umumnya, peti sejuk domestik untuk kegunaan di rumah tidak mempunyai sebarang sistem penggera. Fungsi penggera merupakan antara kriteria penting yang perlu ada pada setiap peti sejuk yang menyimpan ubat-ubatan dan sampel spesimen di makmal. Hampir kesemua jenis peti sejuk farmaseutikal dilengkapi dengan penggera asas yang diaktifkan secara automatik apabila suhu di luar julat ideal sama ada terlalu tinggi atau rendah, sambungan bekalan elektrik terputus, bekalan bateri rendah, kegagalan sensor suhu, pintu peti sejuk terbuka terlalu lama atau ia tidak ditutup dengan betul.
Bilangan sensor
Peti sejuk domestik kebiasaannya hanya mempunyai satu sensor yang mengesan suhu di dalam peti sejuk secara automatik. Berdasarkan teori, peti sejuk yang mempunyai sensor yang lebih banyak mampu mengesan suhu pada setiap sudut dan aspek untuk memberikan bacaan yang lebih tepat. Peti sejuk perubatan kebiasaannya mempunyai 2 atau lebih sesor suhu untuk memastikan ketepatan suhu dalaman. Komponen ini juga dapat membantu sistem pengawalan suhunya juga mampu untuk melaraskan suhu dengan lebih cepat untuk memastikan kestabilan suhu.
Lapisan penebat
Peti sejuk farmaseutikal diperbuat daripada lapisan penebat yang lebih tebal berbanding peti sejuk domestik. Lapisan penebat luaran yang tebal dapat memberikan prestasi penyerapan haba yang lebih baik dan cekap. Rekaan ini sekaligus dapat membantu untuk mengekalkan persekitan dalaman yang lebih sejuk dan melindungi pemampat dan komponen elektonik peti sejuk daripada menjadi terlalu panas.
Secara kesimpulannya, penggunaan peti sejuk domestik untuk penyimpanan sampel biologi, ubat-ubatan termasuklah vaksin, adalah tidak sesuai disebabkan beberapa faktor komponen, sistem dan fungsi pembuatannya. Selain bertujuan untuk memastikan keselamatan pesakit dan pematuhan terhadap piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia, kegunaan peti sejuk farmaseutikal juga dapat mengurangkan risiko kerugian aset sampel, ubatan dan vaksin yang bernilai tinggi.
FC-BIOS merupakan antara pengedar peti sejuk farmaseutikal di Malaysia untuk kegunaan di hospital, klinik, farmasi, makmal, pusat penyelidikan dan diagnostik. Kami terdiri daripada kumpulan profesional yang mempunyai pengalaman dan kecekapan dalam pemasangan peti sejuk farmaseutikal dan sistem penggera suhu. Hubungi FC-BIOS untuk mendapatkan bekalan peti sejuk farmaseutikal di Malaysia.